HomeAbout KaryaONE
About Karyaone

Minggu KaryaONE adalah program tahunan pelajar yang diwujudkan oleh Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), UiTM untuk pelajar, sejak tahun 2010 sebagai platform mempamerkan bakat dan hasil seni kreatif para pelajar kepada umum. KaryaONE merupakan gabungan kreatif antara perkataan “karya”; “karyawan”; dan “one (satu)” dimana ketiga-tiga perkataan ini memberikan makna yang berbeza. Merujuk kamus dewan, karya ialah hasil keseniaan atau ciptaan – seni muzik, ciptaan, tulisan, dan sebagainya. Manakala karyawan adalah orang yang banyak menghasilkan karya. One pula merujuk kepada nombor satu (simbolik kepada yang terbaik). Oleh itu, KaryaOne merupakan sebuah acara yang meraikan karya terbaik yang dihasilkan oleh para pengkarya (para pelajar) Fakulti Filem, Teater & Animasi (FiTA), UiTM.

Tahun ini sempena meraikan sambutan ulangtahun FiTA yang ke 20, Minggu KaryaONE akan di raikan secara besar-besaran dengan menghimpunkan ALUMNI fakulti sejak tahun 1998. Oleh kerana itu Minggu KaryaONE Bersama Alumni 2017 ini menyediakan pelbagai acara berbentuk ilmiah dan artrepreneur yang melibatkan para pelajar dan dibantu oleh pensyarah dan seluruh kakitangan fakulti ini, menjalankan pelbagai program menarik yang mengetengahkan bakat dan kreativiti para pelajar. Antara programprogram yang bakal berlangsung adalah Malam Gala KaryaONE Bersama Alumni 2017, Promosi Filem, Wacana Seni, Animation Kingdom, Pameran Fotografi Nostalgia FiTA, Tayangan Filem Pendek, dan Mini Karnival.

Malam Anugerah KaryaONE FiTA 2017 Bersama Alumni adalah acara kemuncak yang dinanti-nantikan di mana hasil kerja para pelajar FiTA akan dipertandingkan dan dianugerahkan menerusi beberapa kategori pencalonan yang serupa dengan anugerah festival kesenian di Malaysia dan antarabangsa. Tahun ini Anugerah Ikon FiTA akan diperkenalkan bagi menghargai sumbangan Alumni di dalam industri seni tanah air. Minggu KaryaONE Bersama Alumni 2017 bermatlamat dalam membantu mengasah bakat dan memahirkan para pelajar di dalam bidang masing-masing sebagai persediaan untuk mereka menempuh alam pekerjaan sebagai pengiat seni kreatif kelak. Oleh itu, para pelajar yang terlibat akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk mengendalikan program-program Minggu KaryaONE Bersama Alumni 2017, dengan sokongan daripada para pensyarah dan seluruh warga FiTA. Mereka juga akan dinilai melalui beberapa subjek yang berkaitan dengan tugasan yang akan mereka laksanakan.

Dengan adanya program seumpama ini, hasil karya para pelajar dapat menyerlah dan diiktiraf, selain membuka ruang kepada mereka untuk diperkenalkan dengan pengiat seni industri kreatif tanah air. Melalui program ini juga, para pelajar bukan sahaja dapat meluaskan pengetahuan dalam bidang masing-masing, malahan mereka juga dapat membentuk sahsiah dan jati diri yang positif.